Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.


HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.


Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


Permintaan-permintaan sebegitu terus muncul daripada pihak-pihak lain lalu kami cuba mencari cara untuk melaksanakannya. Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...




















Friday, November 11, 2016

Pemerhatian terhadap perkembangan pemakaian busana tradisional Melayu - Gerakan yang berkembang ke merata Semenanjung membawa luar negara ke Aceh

Masuk bahagian kedua perkongsian mengenai pembentangan saya pada acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara 22 Oktober. Bersambung daripada Pemerhatian terhadap perkembangan pemakaian busana tradisional Melayu - Bibit-bibit awal sekitar tahun 2012.

Pada tarikh yang kelihatan dalam gambar saya mengadakan acara ketiga HIKMAH di Lumut, Perak. Ketika itu saya sudah memiliki persalinan busana tradisional yang lebih menarik. Dan tidak seperti pada acara sebelum di Melaka 25 November 2012 di mana saya terpaksa meminjam keris orang untuk ke majlis kali itu saya sudah memiliki keris sendiri yang cukup sajak. Lihat Keris yang sesuai untuk majlis.


Majlis itu sendiri agak menggemparkan. Selain dihadiri lebih 700 orang ia menyaksikan ramai anak Melayu berbusana tradisional bergabung dengan golongan agamawan yang berjubah berserban dalam satu majlis. Lihat Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013. Lebih menggemparkan apabila kami beramai-ramai berarak daripada dewan tempat acara ke pinggir pantai menghadap Pulau Pangkor lalu mengadakan satu upacara yang mencabar suasana sosio-politik sedia ada. Lihat Kemuncak HIKMAH III - Perarakan Maulidur Rasul dan pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874. Ia menarik perhatian ramai sehingga diperdebatkan buat beberapa lama...


Perjuangan untuk memartabatkan jiwa sejati Melayu lama ke persada yang lebih tinggi diteruskan apabila mendapat peluang untuk menghadiri satu majlis besar di parlimen.


Beginilah saya berpakaian dengan ditemani isteri. Saya adalah satu-satunya hadirin yang memakai busana tradisional penuh ketika itu. Lihat artikel Berbusana tradisional membawa misi HIKMAH ke parlimen di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Melompat terus pada satu acara HIKMAH yang diadakan di Melaka (sekali lagi) penghujung tahun itu. Lihat Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013. Saya tunjuk yang ini kerana setelah membawa HIKMAH ke 3 lokasi berlainan selepas Lumut majlis ini terlebih bererti. Ini kerana ia melibatkan sekali golongan karyawan seni yang diketuai oleh pengarah filem terkenal, saudara Mamat Khalid. Beliau berhajat mahu menerbitkan satu filem epik Melayu lalu meminta bantuan pengisian daripada kami. Lihat HIKMAH VII di Melaka - Darah Melayu pun mula menggelegak.


Acara ke-7 HIKMAH di Melaka disebut dalam pembentangan ini kerana ia boleh dijadikan alat untuk melompatkan penceritaan kembali ke satu masa sebelum itu. Kembali ke acara ke-2 HIKMAH yang turut diadakan di negeri itu juga. Lihat Acara kedua HIKMAH di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 Nov 2012. Acara ini diimbas kembali kerana melibatkan 3 orang warga Aceh berkongsi keadaan tentang satu lokasi penting bersejarah di tempat mereka. Ia menjadi titik tolak untuk mereka sendiri lebih giat memperjuangkan beberapa perkara di tempat mereka. Lihat Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka.


Percaya atau tidak acara di Melaka yang dihadiri orang Aceh 25 November 2012 itu menjadi pencetus untuk mereka sendiri menerbitkan gerakan dan kumpulan memartabatkan busana tradisional mereka. Kembali pada masa acara HIKMAH diadakan lagi di Melaka iaitu pada 30 November 2013, setahun 5 hari kemudian. Dua minggu selepas itu muncul satu kumpulan busana dari Aceh datang ke Malaysia. Dipimpin salah seorang yang pernah datang ke acara ke-2 HIKMAH di Melaka, mereka meminta saya membawa berjalan-jalan melihat apa yang patut di negara kita.


Mereka mahu saya membawa ke tempat-tempat bersejarah terutama yang ada kena mengena dengan Aceh. Mereka juga berharap saya boleh membawa ke mana-mana majlis yang sesuai dengan perjuangan kita semua mahu memartabatkan Melayu dan Islam. Kebetulan sekitar masa itu memang ada satu majlis di Kuala Lumpur. Setelah mengatur pertemuan pada satu ekspo buku di PWTC saya pun membawa mereka ke majlis. Lihat Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!.


Lihatlah anak-anak Aceh dengan cara pakaian tradisi mereka bersama kami di Malaysia dengan cara kita. Kedatangan mereka menyebabkan pihak penganjur yang diketuai saudara Azlan Ghanie, pengasas majalah Seni Bela Diri teruja. Hasilnya, mereka dibawa untuk mengisi satu edisi majalah. Lihat Busana Aceh dalam majalah Seni Beladiri...


Dua hari selepas itu saya turut membawa kawan-kawan Aceh menghala ke selatan melihat beberapa tempat-tempat bersejarah sepanjang perjalanan. Lihat Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD. Tak sampai 2 minggu kemudian saya ke Pulau Pinang pula untuk memenuhi undangan menghadiri satu majlis yang mahu mengangkat cara Melayu lama di sana.

Majlis ini membuktikan pergerakan memartabatkan kembali busana tradisional Melayu juga sudah menjalar ke sebelah utara Semenanjung. Lihat Festival Adat Istiadat Warisan Melayu di Balik Pulau. Kurang 2 bulan kemudian saya mengadakan satu acara HIKMAH di belah sana. Lihat Acara kesembilan HIKMAH di Dewan Tabung Haji, Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014.


Sebulan lebih sahaja selepas Pulau Pinang, saya mengadakan acara di Aceh pula. Perhubungan baik dengan kawan-kawan sana yang mula termetrai pada acara ke-2 HIKMAH di Melaka 25 Nov 2012 sangat membantu melicinkan perkara.


Sejak beberapa lama sebenarnya mereka telah meminta agar saya mengadakan acara di tempat mereka. Ia menjadi kenyataan apabila mereka mendapat tahu saya dan keluarga akan bercuti di Aceh pada tarikh sekian-sekian lalu majlis pun diatur agar selari dengan masa bercuti. Sambil itu juga sejumlah anak Malaysia yang biasa mengikuti majlis-majlis HIKMAH mengatur kedatangan mereka. Atas permintaan saya majlis diadakan ringkas di bawah sebuah rumah tradisional di tengah ibu kota Aceh. Lihat Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014.


Kedatangan kami amat diraikan sehingga dibawa beramai-ramai untuk makan malam secara rasmi di rumah Gabernur Aceh. Lihat HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Diraikan Gabernor di kediaman rasmi. Begitulah akrabnya hubungan kami anak-anak Malaysia dengan anak-anak Aceh disebabkan usaha mahu memartabatkan busana tradisional Melayu. Lebih utama lagi kami sama-sama hendak mendaulatkan Melayu dan Islam di bumi sebelah sini.


Pembentangan seterusnya dibawa untuk menyorot usaha memartabatkan pemakaian busana tradisional Melayu dalam kalangan cendekiawan Melayu dan golongan atasan. Munculnya saya menghiasi ruangan satu akhbar tempatan seperti kelihatan di atas adalah satu titik perkembangan perkara yang terkait dengan usaha tersebut. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu.


Bukan tidak pernah muncul dalam akhbar sebelum itu. Saya sudah banyak kali diberikan ruang baik dalam akhbar mahupun di televisyen, ada 2-3 kali juga berbusana tradisional Melayu. Orang lain pun sudah ramai menunjukkan diri dalam media massa. Cuma biasanya mereka muncul dalam konteks budaya sahaja, sebagai pembuat baju Melayu tradisional dan tanjak misalnya juga sebagai pesilat dan pemain gendang.

Kemunculan saya dalam akhbar kali ini terlebih istimewa kerana dibuat dalam konteks kecendekiawanan dan dunia pemikiran tinggi. Adalah menjadi misi peribadi saya sebagai seorang penulis juga pemikir yang memiliki ijazah dalam bidang Matematik dari University College of London, sebuah institusi pengajian tinggi yang tersenarai sebagai antara 10 terbaik di dunia untuk menunjukkan bahawa yang berbusana tradisional Melayu itu bukan sekadar orang kekampungan atau cuma tahu bersilat. Dalam kalangan kami juga terdapat mereka yang faham undang-undang dan perlembagaan, tahu tentang ekonomi dunia, memiliki jawatan dan kedudukan berwibawa lagi berpelajaran (educated). Kami boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan tokoh-tokoh pemikir sehingga ke peringkat antarabangsa. Biar ditegaskan artikel ini muncul setelah menghadiri satu majlis ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia atau UKM pada awal tahun 2015. Lihat artikel Forum "Melayu Bukan Pendatang" di UKM.


Sebetulnya sejak menjadi pemakai busana tradisional Melayu bermula penghujung tahun 2012 saya selalu berpakaian begitu ke majlis-majlis ilmu. Sudah sangat banyak majlis dihadiri di menara-menara gading dan institusi-institusi berwibawa lagi berprestij dengan berpakaian begini. Hal tersebut boleh dilihat melalui pautan-pautan artikel yang disenaraikan di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah" pada kiri paling bawah blogspot CATATAN SI MERAH SILU.

Kalau untuk majlis-majlis HIKMAH sudah tentu saya sebagai presiden dan pengasas kumpulan harus berbusana tradisional Melayu. Untuk berjalan-jalan santai di Kuala Lumpur malah di Rawang dan lain-lain tempat pun kadangkala berpakaian begitu tetapi dalam versi yang lebih ringkas, bukan untuk majlis. Kelihatan di atas saya berkongsi ilmu pada satu majlis besar di Pasir Salak, Perak. Turut berkongsi ilmu di atas pentas yang sama adalah mantan Ketua Polis Negara yang paling terkenal di Malaysia, Tun Hanif Omar. Lihat Panggilan Pasir Salak - Peranan HIKMAH dan sedikit perkongsian ilmu.


Sesi pembentangan ilmu diadakan pada petang hari kedua majlis yang dipanggil sebagai WB River Fest itu. Esoknya Ahad, hari terakhir majlis saya mengambil kesempatan bergambar bersama Hanif. Tiga minggu sebelum itu saya telah melaksanakan satu majlis HIKMAH di Pahang, pertama kali di negeri tersebut. Sejak aktif berpakaian begini ada sahaja majlis dihadiri lalu ditonjolkan diri. Lihat Acara keempat belas HIKMAH di Masjid Warisan Kampung Chenor, Maran, Pahang 9 Mei 2015.


Selain berkongsi ilmu saya telah diminta penganjur majlis agar membawa kawan-kawan aktivis datang berbusana tradisional Melayu. Ini dilakukan atas nama HIKMAH - Kami diberikan sebuah khemah untuk kawan-kawan berniaga juga penginapan berupa beberapa buah chalet dalam resort/kompleks peranginan Pasir Salak. Rasanya ramai sedia tahu tentang cerita lokasi tersebut iaitu Pasir Salak terkenal sebagai tempat Dato' Maharajela dan para pejuang Melayu membunuh residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.  Ini adalah susulan daripada penindasan terhadap orang Melayu yang muncul akibat Perjanjian Pangkor 1874.

Malah tempat pegawai Barat angkuh itu dibunuh iaitu di tepian Sungai Perak termasuk dalam kawasan kompleks. Untuk pengetahuan itulah julungkalinya lokasi bersejarah ini menerima kedatangan ramai yang betul-betul mahu mengamalkan pemakaian busana tradisional Melayu, mungkin sejak beberapa dekad! Bukankah ini satu titik yang penting dalam perkembangan perkara? Bukankah ini harus disedari oleh semua yang terlibat dalam dunia busana tradisional Melayu?


Kehadiran kami malah begitu disenangi oleh tetamu utama atau VVIP untuk hari itu iaitu Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa. Lihat artikel Panggilan Pasir Salak - Bersama Raja Muda Perak. Baginda begitu seronok sehingga mengenepikan segala protokol kebesaran istana untuk memanggil kami masuk ke halaman sebuah rumah peninggalan bersejarah di sebelah kompleks lalu diajak bergambar sama. Lihat Panggilan Pasir Salak - Bertandang ke rumah Tok Sagor. Gambar yang kelihatan inilah digunakan sebagai perhiasan slaid tajuk pembentangan. Lihat Pemerhatian terhadap perkembangan pemakaian busana tradisional Melayu - Bibit-bibit awal sekitar tahun 2012.




.

1 comment:

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Mohammad Iddham, Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.